Wednesday 11 June 2014

Hana Nafisa

Bismillahirramnirrahim..

Untuk my sweetie,

Hana Nafisa.

Hana, di saat Mama menulis entry ini, Mama sedang mengandungkan adik-adik Hana, 33 minggu 5 hari. InsyaAllah, Hana akan menjadi kakak kepada dua orang adik dalam masa 44 hari lagi.. Subhanallah, hebat sungguh nikmat yang Allah anugerahkan untuk keluarga kita. Alhamdulillah...

Dan di saat ini juga, Hana sedang berada di nursery, bersama cikgu dan rakan-rakan Hana.

Hana,

Walaupun Mama nak sangat menjaga Hana sepenuhnya, melihat Hana setiap hari bersama Mama, tapi Mama mengambil keputusan untuk hantar Hana ke nursery sebagai persiapan untuk Hana membesar menjadi anak yang lebih kuat. Anak yang manja, tetapi mempunyai disiplin dan tanggungjawab untuk ke nursery setiap hari. Supaya Hana boleh bergaul dengan lebih ramai rakan, belajar berdikari di waktu Mama dan Baba tiada. InsyaAllah.. Terlalu banyak isu yang negatif berkenaan nursery, tetapi Mama kuatkan hati, Mama yakinkan diri, Mama letakkan Hana di bawah jagaan Allah, moga Allah sentiasa menjaga Hana.

Juga, di ketika ini, pelbagai maklumat dan kebaikan home-school yang dikongsikan. Mama juga sangat ingin begitu. Setiap hari bersama Hana, membuat aktiviti bersama, belajar bersama, tetapi, Mama dan Baba juga ada tanggungjawab dan amanah yang perlu dipenuhi. Baba bekerja, dan Mama pula mengambil peluang untuk sambung belajar. Walaupun kelas tidak berlangsung sepanjang minggu, tetapi Mama disiplinkan diri untuk mengatur setiap aktiviti bagi setiap hari, dan menghantar Hana ke nursery mengikut rutin biasa. Mama disiplinkan diri juga, waktu selepas Hana pulang, iaitu 6 petang dan ke atas, adalah masa untuk Mama dan Baba luangkan hanya untuk Hana sehingga waktu Hana tidur jam 11 malam. Kita bermain bersama, siram pokok di garden, solat atau pergi ke masjid, makan, belajar dan baca buku bersama dalam kuantiti masa yang terhad tetapi berkualiti insyaAllah..

 
Hana Nafisa kesayangan Mama dan Baba,

Hana adalah anak yang Mama dan Baba sangat nantikan selama empat tahun. Hana adalah anak yang Mama niatkan, rancangkan dan persiapkan untuk jalan dakwah. Kerana itulah satu-satunya cita-cita tertinggi dan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim.

Walaupun, Hana adalah anak perempuan, tetapi keyakinan dan harapan Mama terhadap Hana tidak pernah kurang berbanding anak lelaki. Kerana Mama yakin, di zaman ini, perempuan juga sangat berdikari, berani, terkehadapan, memikul tanggungjawab dakwah, amanah dalam keluarga dan agama.

Jadi, Mama mahu persiapkan Hana menjadi wanita yang kuat, yang tabah, bijak, berdikari, berani, solehah, dan berjuang untuk Islam. Hana sebagaimana yang Mama perhatikan, seorang anak yang bijak, aktif, cepat belajar, berani mencuba, sukakan cabaran, tegas, berpendirian, dan pada masa yang sama tetap manja. Sungguh harapan Mama terhadap Hana sangat tinggi, bukan dari sudut akademik sahaja, tapi dari sudut pembangunan diri yang teguh, supaya Hana dapat menjadi pembimbing dan tonggak utama dakwah pada masa hadapan.

Mama tidak kisah, pada masa hadapan apakah pekerjaan yang bakal Hana pilih, atau yang Allah takdirkan untuk Hana, tetapi yang paling penting, tidak kira tugasan apapun yang Hana pikul, Hana adalah duta kepada Islam.



Jika menjadi ahli perniagaan, jadilah ahli perniagaan yang bertaqwa dan membangunkan ekonomi Islam.

Jika menjadi seorang guru atau pensyarah, jadilah pendidik yang mendidik demi melahirkan generasi berkualiti untuk Islam.

Jika menjadi seorang doktor, jadilah doktor yang bertaqwa yang memberi servis terbaik untuk Ummah.

Dan begitulah yang seterusnya, walau di mana Hana, dalam bidang dan lapangan apapun, Hana tahu bahawa, tanggungjawab Hana bukan berkenaan urusan dunia sahaja, tetapi sumbangan paling besar adalah dakwah untuk saham akhirat nanti.
 
InsyaAllah, Hana akan Mama persiapkan, untuk menjadi seorang al-Hafizah, fasih bertutur, sekurang-kurangnya dalam tiga bahasa iaitu  Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, mahir berpidato dan public speaking, menguasai beberapa kemahiran seperti berenang dan kemahiran bermain satu alat muzik, dan insyaAllah cemerlang dalam akademik juga. Inilah cita-cita Mama untuk Hana, dan adik-adik yang lain. Bukanlah kemuliaan yang dikejar, tetapi Mama mahu anak-anak Mama adalah umat Islam yang serba boleh, berakhlak mulia dan mempunyai personaliti yang "firm" supaya kita tidak mudah hanyut dengan semua permainan dunia ini.. Hanya Allah tempat kita bergantung, dan kita perlu berusaha untuk menjadi umat Islam yang bijak dan berkemahiran untuk membela Islam..

Beberapa kali Baba katakan kepada Mama, Baba mengharapkan juga anak lelaki, supaya boleh menjaga Mama di kemudian hari. Mama katakan kepada Baba, Hana adalah anak hebat yang pasti boleh menjaga Mama.. Kita doakan Hana mendapat suami yang soleh yang dapat menjaganya, dan insyaAllah dapat berbakti untuk Mama dan Baba. Dan yang paling utama, Allah adalah sebaik-baik penjaga untuk kita semua..

Setakat ini dahulu coretan Mama, moga Allah izin dan redha dengan segala perancangan Mama, moga Allah beri petunjuk dan bantuan untuk Baba dan Mama memikul amanah, mendidik Hana dan anak-anak yang lain menjadi saham akhirat untuk kami, juga aset berharga untuk Islam.. Ameen ya Rabb.. :)

Love,
Mama
12 Jun 2014, 2.25pm

0 comments:

Post a Comment